Kehidupan Universiti Sebenar

Seringkali difahami masyarakat apabila mahu mendalami agama ialah dengan memasuki madrasah, pondok (pesantren), universiti Islam atau institusi-institusi pendidikan agama.

Jika ilmu yang ingin dipelajari itu bertujuan memahami lebih luas perbahasan fiqh, tafsir, hadis, syair Arab atau lainnya, maka ia ada kebenarannya. Namun untuk mendalami ilmu Tauhid Ihsan @ Makrifat, Tasawwuf @ Akhlak,  dan “Salaman” (amal ma’aruf dan nahi mungkar) kefahaman diatas kurang tepat.

Ini kerana ilmu-ilmu tersebut adalah ilmu yang terbit dari amal. Tanpa amal, ia hanya bentuk teori atau maklumat semata, tiada penghayatan dalam kehidupan.

Maka untuk mendalami Iman, Islam dan Ihsan (3 rukun ad-Din) tempatnya adalah di “universiti atau madrasah kehidupan” itu sendiri. Madrasah kehidupan adalah medan sebenar menguji Iman, Islam dan Ihsan seseorang.

Allah SWT berfirman: 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (Al-Ankabut: 2-3)

Maka jadikanlah kehidupan sehari-hari sebagai madrasah tempat kita mendalami lagi ilmu yang ada, agar benar-benar mencapai Tauhid Ihsan, Jiwa Mutmainnah dan Akhlak Salaman.

Kehidupan adalah medan terbaik untuk menghayati ilmu ikhlas, sabar, tawakal, syuhud, tawadhu’, zuhud, redha, syukur, faqir, hina, sederhana dan sebagainya.

Sabda Rasulullah ﷺ:

“Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya.” (HR. Muslim)

Sesungguhnya nafsu ammarah dalam jiwa tiada pernah terpadam namun hanya terpendam lantaran adanya cahaya Ihsan, mahabbah Rasul dan mujahadah jiwa Mutmainnah.

Justeru ia perlu dicanai setiap masa agar cahaya Ihsan @ Makrifat terus bersinar dan pengetahuan tentang nafsu semakin mendalam.

Seseorang itu tiada akan tahu adakah tiada takabur dalam jiwanya jika tiada diuji dengan maki hamun, dihina, disakiti tanpa ia merasa marah, dendam dan memaafkan, malah merasa syukur dan berterima kasih pula kepada orang yang menghinanya.

Bagi seorang murid atau salik (orang yang berjalan menuju Allah), ubat besar untuk memecahkan sombong dirinya ialah teguran, kemarahan dan pukulan Gurunya yang benar ikhlas dan cinta padanya.

Maka perlulah difahami bahawa untuk mendalami ilmu Tauhid Tasawwuf bukan perlu kepada pengajian kitab-kitab besar, perbahasan ilmiah yang hebat, belajar secara formal di institusi-institusi pendidikan agama, kerana hakikatnya kitab Tauhid Tasawwuf hakiki berada dalam amal kehidupan manusia itu sendiri.

Kehidupan adalah universiti @ madrasah pendidikan sebenar!