Dakwah : Seruan Kepada Asal Fitrah Diri

Insan adalah sama dan hadapi masalah yang sama. Kerana manusia itu miliki unsur diri yang sama; diri jasmani dan diri rohani. Diri jasmani mungkin berbeza dari segi rupa, warna kulit, bangsa dan lainnya, namun diri rohani @ jiwa adalah sama.

Manusia bila berbicara, akhirnya akan berbincang hal yang sama iaitu tentang jiwa dan rohani (ruh).

Kehidupan ini menggelisahkan jiwa dan ruh semua insan, walau apa situasi dan dimana mereka berada. Justeru itu mereka perlukan penawar jiwa dan ruh agar tenang dan bahagia dalam mengharungi dunia kegelisahan ini.

Walau apa agama atau idealogi mereka, kita tidak perlu melihat pada wajah-wajah itu dalam berbicara dengan mereka. Kita bicara dari lubuk hati seorang insan kepada insan yang miliki kesamaan, yakni kegelisahan hidup.

Kita berbicara tentang pentingnya jiwa insan bertaut dengan Pencipta yang mengatur alam dan insan. Dengan tautan tersebut jiwa akan merasa tenang kerana akan melihat apa jua masalah yang dilalui adalah takdir yang ditetapkan untuk menguji insan.

Tanpa ujian insan tiada akan mencapai darjat yang tinggi disisiNya dan mendapat kedudukan yang tinggi dalam kehidupan yang abadi. Maka bersifat sabar, redha, tawakal, syukur dan pasrah kepada Tuhan dengan cara yang benar pasti akan merasai kebahagiaan. Bagaikan bayi yang berada dalam dakapan ibunya, pasti ia tenang dan bahagia lantaran dapat merasai pelukan kasih sayang dari jiwa yang suci dan ikhlas.

Yang kedua ialah miliki hati yang baik dan hidup penuh kebaikan sesama insan. Kesalahan akan membawa jiwa kepada kegelisahan yang diistilahkan dosa. Adapun miliki hati yang baik dan hidup melakukan yang baik pasti akan memberi kebahagiaan pada hati, yang diistilah sebagai pahala. Semakin baik hatinya dan banya amal baiknya pasti jiwanya akan bertambah bahagia.

Maka hal inilah yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul (‘alaihimussolatu wassalam) sekeliannya dalam memperjuangkan isu kemanusiaan. Mereka bukan hanya menumpu pada aspek jasadiah dan kehidupan zahir seperti makan minum atau lainnya, tetapi aspek ruh dan jiwa menjadikan keutamaan dalam seruan dakwah mereka. Manusia perlukan Tuhan lebih dari apa jua di alam ini, manusia perlukan kebahagiaan lebih dari segala kenikmatan lain di alam ini.

Maka bawalah minuman dan makanan pada jiwa dan ruh siapa sahaja dikalangan anak Adam yag kita temui, tanpa melihat apa agama dan kedudukan mereka, kerana inilah penawarnya.

Kalangan atheis, kita perlu pecahkan logik akal mereka yang fantasi kepada logik yang lebih realiti. Pada kalangan yang berbeza agama, tiada sesekali kita menolak ketuhanan dan agama mereka, hanya berikan penawar agar berpegang pada Tuhan dan hidup dalam kebaikan.

Jika tiada temui kebahagiaan dalam aspek ketuhanan mereka, maka disitu kita nyatakan aspek ketuhanan dan kepercayaan kita tanpa sedikitpun menghina dan mengatakan salah pada kepercayaan mereka. Kita hanya menerangkan apa yang kita pegang tanpa menyerang kepercayaan dan pegangan mereka.

Sayugia kita memahami dan meneladani empat (4) Sifat Rasulullah ﷺ (Siddiq, Amanah, Tabligh & Fathanah) dengan sebaiknya dalam aplikasi dakwah kepada kalangan atheis dan non-muslim, agar misi kerahmatan lil ‘alamin dapat dilaksana dengan penuh bijaksana.

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik . Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (an-Nahl : 125)

Leave a comment